Archive for August, 2007

Pengisian Merdeka & Suasana Semasa : Ada Silapkah ?

Tuesday, August 28th, 2007

Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Alhamdulillah telah 50 tahun negara kita merdeka dari jajahan dan tekanan kuasa asing secara fizikal. Jajahan fizikal sememangnya amat mendukacitakan dan menekan. Lihat sahaja Iraq dan Palestin yang sedang dijajah secara fizikal. Penjajahan seumpama ini sudah tentu boleh membawa kepada terjajahnya minda dan hati majoriti rakyat. Mungkin akan ada yang terselamat dari penjajahan tersebut tetapi jumlahnya pasti amat kecil.


isi kemerdekaan dengan cahaya taqwa

Hari ini, Malaysia telah 50 tahun merdeka, maka agenda utama umat hari ini adalah pengisian kemerdekaan. Pengisian tidak akan mampu dibuat tanpa ilmu, dan pengisian yang melupakan santapan rohani pasti akan membawa kepada pengisian yang cacat dan pincang.


Tulisan ini tidak akan membincangkan semua silap-silapnya kerana ia kerap di tulis dan diolah oleh pelbagai pihak. Saya hanya akan menyentuh satu aspek sahaja.

Merdeka Fizikal Tetapi Kering Iman

Bagi saya, hidup di atas dunia ini sebagai seorang merdeka adalah ibarat berjaya melepaskan diri dari kurungan musuh, tetapi kurungan itu berada di tengah-tengah hutan tebal yang dipenuhi binatang buas. Tanpa ilmu sewajarnya, hidup di luar kurungan dan di dalam kurungan adalah lebih kurang sama.

Bayangkan, bagaimana keadaan orang tawanan yang berjaya meloloskan diri dari kurungan tapi tiada sebarang ilmu tentang binatang, hidupan di hutan, tidak tahu menangkap ikan, tidak pandai berenang, tidak tahu apa itu singa dan harimau, tidak kenal apa itu buaya, tidak kenal juga apa itu ular. bak kata orang " main redah aja".

bendera Malaysia

Bagaimana mungkin pengisian dan kenikmatan kebebasannya dapat dirasai tanpa ilmu asas di hutan itu. Bukan sahaja nikmatnya tidak dapat dikecapi dengan sempurna, malah ia juga terlalu amat merbahaya. 

Demikian umat Islam hari ini, merdekanya kita di zaman ini boleh diibaratkan kita dilepaskan bebas tetapi masih berada di hutan belantara, tanpa ilmu berkenaan selok belok hutan, apa yang baik dan yang buruk, seseorang pasti akan menjadi mangsa binatang buas. BInatang buas itu adalah dunia dan segala nikmat sementaranya.

Sama seperti merdeka fizikal tanpa ilmu Islam yang cukup, pastinya akan terlanggar seribu satu jenis dosa yang memenuhi hidup ini. Dosa itu ibarat harimau, singa, ular, kala dan binatang bisa. Merdeka tanpa ilmu Islam di akhir zaman ini, bakal menyaksikan kehancuran nilai diri yang amat teruk.

Lihat sahaja, keadaan sekeliling yang pastinya menekan perasaan semua ibu bapa dan masyarakat yang beriman. Kita dapat melihat bagaimana satu persatu kes akhlak dan moral dipaparkan di media, cukup merimaskan.

Ada yang mencadangkan agar jangan membacanya agar minda tidak terganggu dan hidup sentiasa ceria. Bagi saya ia benar dari satu sudut tapi tidak dari yang lain kerana berita seharian dan jenayah dalam pelbagai bentuknya ini perlu juga diketahui oleh kita sebagai langkah berjaga-jaga dan membuat perancangan teliti.

Pembangunan material tidak dapat dinafikan memang meningkat berbanding sebelum merdeka. Cuma, pengisian kemerdekaan dari sudut kerohanian, adab, nilai dan akhlak mesti digembleng sehabis mungkin, peruntukan kewangan mestilah dikeluarkan dengan lancar untuk tujuan ini.

Ketiadaan ilmu berkenaan ilmu Islam menyebabkan orang merdeka terjebak menjadi kawan ’singa’ , ‘harimau’ bagi membaham orang lain atau paling tidak menjadi mangsa mereka sahaja. 

Kes Semasa & Penyelesaian 

Kes jenayah membunuh anak, bunuh isteri, bunuh suami, rogol, culik, rompak dan sebagainya kelihatan begitu meriah sekali. Peningkatan kes-kes sebegini kelihatan hanya dapat dikeluhkan oleh ibu bapa sahaja.

Semua pihak kelihatan buntu seperti tidak tahu hala penyelesaiannya. Padahal jalan penyelesaiannya sudah lama tersedia tetapi tidak ingin diarus perdana dan tidak pula diberi perhatian sewajarnya.

Pada masa yang sama terdapat ramai yang cuba menggunakan aqal yang tidak seberapa bijaknya untuk memikirkan suatu bentuk jalan penyelesaian yang termantap kononnya. Berlagak seperti tuhan yang mengetahui segala-galanya.

Adakah aqal kita begitu bijak untuk mempersoalkan kebijaksanaan ketetapan hukum hakam Allah SWT sedangkan Allah SWT maha bijaksana mengatur dan memiliki semua di bawah ini ?

Adakah kita lebih bijak dari pencipta ini? Isilah kemerdekaan ikut neraca yang terbijak iaitu Allah!

 

Usaha manusia yang kerdil ini pasti akan gagal, kerana aqal kita tidak diciptakan sebegitu canggih sehingga mampu menyelesaikan masalah hati dan kejahatan nafsu manusia. Sekadar beberapa peratus mungkin berjaya tetapi pasti akan menemui jalan buntu akhirnya. Satu-satunya jalan adalah dengan kembali kepada ketenangan hakiki hasil pelaksanaan Islam secara syumul dalam masyarakat.

Satu-satunya jalan ketenangan hidup di atas dunia adalah dengan diajar rakyat dan masyarakat kepada Allah dan RasulNya. Kita boleh melihat bagaimana para sahabat baginda yang di’didik’ oleh baginda Nabi dengan keyakinan terhadap janji Allah di akhirat begitu tenang dalam menghadapi apa jua.

Masjid Nabawi

Tabuk Antara Bukti Kejayaan Pengisian Merdeka di Madinah 

Persitiwa peperangan tabuk yang berlaku pada tahun 9 Hijrah adalah satu contoh yang relevan menunjukkan bentuk pengisian kemerdekaan umat Islam di Madinah. Tabuk adalah sebuah kawasan peperangan jauhnya sekitar 774 KM dari Madinah, berlaku dalam musim panas (sekitar 50 celcius), di waktu musim perniagaan dan tamar sesuai untuk di ambil dan dijual ( Fath Al-Bari, 3/343 )

Ketika itu juga umat Islam mengalami kesempitan wang yang dahsyat (Sohih AL-Bukhari, Kitab At-Tauhid, 9/129 ; Muslim, 5/82)

Di waktu mereka menunggu memperolehi sedikit kewangan untuk menjalani hidup akan beberapa minggu dan bulan akan datang. Nabi SAW mengarahkan para sahabat berjuang di medan Tabuk dalam keadaan panas terik dan kekurangan bekalan.

Para sahabat yang dididik oleh Nabi SAW ikatan dengan Allah sentiasa kental dan tenang untuk berjalan kaki di dalam panas terik semata-mata kerana Allah SWT dan RasulNya. Akhirnya Allah membalas usaha mereka dengan ‘tunai’, iaitu musuh Rome sudah pun lari meninggalkan harta mereka di Tabuk. ( Mawarid Az-Zam’an Ila Az-Zawaid Ibn Hibban, hlm 145 : sanad yang sohih)

Kali ini umat Islam memperolehinya tanpa pertempuran kecuali pertempuran dengan nafsu. Mereka berjaya kerana pengisian kemerdekaan yang diberikan oleh Nabi SAW adalah iman kepada Allah & RasulNya.

Pengisian kemerdekaan yang lain dari itu tidak akan membawa ketenangan umat, sekalipun ia mampu mencipta ketinggian bangunan dan binaan. Umat akan mula hidup sedikit demi sedikit dalam kerisauan dan ketakutan.

Allah SWT mengingatkan :-

الَّذِينَ اتَّخَذُواْ دِينَهُمْ لَهْوًا وَلَعِبًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا فَالْيَوْمَ نَنسَاهُمْ كَمَا نَسُواْ لِقَاء يَوْمِهِمْ هَـذَا وَمَا كَانُواْ بِآيَاتِنَا يَجْحَدُونَ 

Ertinya : "(yaitu) orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda gurau, dan kehidupan dunia telah menipu mereka"". Maka pada hari (kiamat) ini, Kami melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan mereka dengan hari ini, dan (sebagaimana) mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami. " ( Al-’Araf : 51 )

Kualiti sahabat dalam perang Tabuk tadilah yang kita harapkan, mengisi kemerdekaan dengan mendidik rakyat kepada keyakinan terhadap Allah dan RasulNya. Ia pasti membawa keamana dan ketenangan buat semua, termasuk bukan Islam. Ia janji Allah, Tuhan sekalian alam.

 

Hand Phone Canggih Tapi Tidak dapat Dimanfaatkan

Pernah datang kepada saya seorang lelaki yang berkerut muka dan dahinya. Setelah memberi salam dan meminta izin untuk bertanya satu soalan.

"boleh ustaz terangkan, kenapa selepas ingat Allah pun saya masih tak tenang?."

"satu lagi jika tak salah saya, ada ayat Al-Quran yang menjanjikan ‘ingat Allah hati tenang" katanya dengan nada perlahan dan bingung.

Benar, memang dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang, demikian juga solat. Ia disebutkan oleh Allah SWT di dalam surah Ar-Ra’d ayat : 12.

الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Ertinya : (yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram ( Ar-Ra’d : 28)

Saya teringat punyai seorang rakan penceramah yang agak popular, oleh kerana beliau seorang penceramah yang diminati, ramai anak muridnya menghadiahkannya telefon bimbit dengan niat sebagai amal jariah. Telefon bimbit adalah salah satu medium penting bagi seorang pendakwah bagi tujuan menerima jemputan, menjawab soalan, berhubung dan lain-lain.

Sekitar 2 tahun lalu, saya dijemput berforum dengan beliau. Selepas forum diwaktu menikmati jamuan, saya menyapa beliau dengan memuji kecanggihan ‘hand phone’ yang dibawanya, bentuknya canggih, warnanya hebat, deringannya tentu hebat juga.

"eh, memang canggih ni akhi, semua ada ni, 3 G, blue tooth, boleh fax, internet" kata ustaz veteran ni pada saya, sambil menyebutkan kelebihan lain menggunakan beberapa istilah yang saya pun tak berapa faham.

"ustaz, betul ke bagus hand phone ni" Tanya saya lagi.

"Anta ni, mesti la bagus punya, harga dia pun RM 3000 lebih.." katanya yakin.

"Boleh le ustaz demonstrasikan sikit pada ana, kalau bagus, ana nak cari juga ni. Terutamanya yang ada faks tu" kata saya benar-benar ingin tahu dan belajar.

"eem.." dia sambil tersenyum lebar kali ini.

"sebenarnya, ana pun tak reti guna. Orang yang bagi tu je yang beritahu fungsi-fungsi ini; tapi ana hanya pandai ‘dail’ dan angkat panggilan je, paling kuat pun, hanya pandai masukkan nama dalam phone book" katanya dengan tersenyum lagi.

"patut la nada dering tadi keluar bunyi ayam berkokok, kenapa tak ‘adjust’ ? " Tanya saya

"isyhh anta ni, jangan cakap kuat-kuat, malu ana nanti, anta tolong la betulkan tu, anak ana tu yang sengaja letak bunyi ayam kokok tu" katanya seperti berbisik dan kelihatan tersipu-sipu.

Bagi saya ia satu pengalaman yang mencuit hati saya. Bayangkan seorang ustaz terlupa memadamkan nada deringnya di dalam majlis ceramah, tiba-tiba telefonnya berbunyi, keluar nada ayam berkokok tetapi beliau sendiri tak tahu yang berkokok itu adalah telefonnya kerana tiada ilmu tentang telefonnya. Habis ceramah dia masih tidak tahu bagaimana untuk menukar nada itu kepada nada biasa.

Beliau tahu telefon yang dihadiahkan kepada adalah canggih dengan segala kemampuan dan kemudahan, tetapi tidak pandai menggunakannya lalu hanya beroleh manfaat yang minima dari sebuah telefon yang canggih.

Moralnya; bukanlah difokus kepada ‘handphone’ sebenarnya, tetapi kepada akibat tiada ilmu beliau terhalang dari mendapat nikmat dari telefonnya yang canggih. Justeru, fungsi telefon yang hebat tidak dapat dinikmatinya.

"Mungkin ia serba sedikit dapat menjawap soalan anda" kata saya kepada pemuda tadi. 

"Ye saya sudah faham, ustaz, memang benar saya tidak cukup faham apa yang saya baca dari al-Quran, dan apa yang saya buat semasa solat, sebab itulah saya tidak merasai kenikmatan sebenar darinya" katanya.

Benar, zikrullah, Al-Quran dan Solat itu adalah satu cara yang amat canggih untuk mendapat ketenangannya, tetapi apabila ia dilaksanakan dan dirujuk tanpa mengikut piawaian ilmu yang sewajarnya, hasil kemanisan dan ketenangannya gagal diperolehi.

 

Silibus Pengisian Kemerdekaan Fizikal

 

Firman Allah :

فَإِن زَلَلْتُمْ مِّن بَعْدِ مَا جَاءتْكُمُ الْبَيِّنَاتُ فَاعْلَمُواْ أَنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Ertinya : Tetapi jika kamu menyimpang (dari hukum hakam yang telah ditetapkannya) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahwasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Imam Fakhruddin Ar-Razi  menafsirkan maksud erti Allah maha perkasa lagi bijaksana dalam ayat di atas dengan katanya :-

فاعلموا أن الله مقتدر عليكم لا يمنعه مانع عنكم فلا يفوته ما يريده منكم وهذا نهاية في الوعيد

Ertinya : Ketahuilah ( sesiapa yang melanggar arahan Allah) sesungguhnya Allah amat berkuasa ke atas kamu, dan tiada seisapa mampu menahan Allah (jika ingin menjatuhkan bala dan azab ke atasmu) dan tidak akan terlepas apa yang dikehendaki Allah ke untukmu, (ayat sebegini) adalah adalah menunjukkan amaran azab yang dikemuncak kerasnya. (At-Tafsir Al-Kabir, 5/180)

Justeru, di hari menyambut kemerdekaan ke 50 ini dan dikelilingi dengan suasana yang semakin parah, setiap individu perlu berazam memanfaatkan bulan Ramadhan yang mendatang sebagai pendorong utama membetulkan keadaan keluarga kita terlebih dahulu. Jika kita masih belum sedar, masih tidak mahu menyebarkan kebaikan al-quran, al-hadis atau Islam. Kehidupan seharian pasti bertambah bahaya dan sukar.

Jangan biarkan keluarga kita merempuh hutan belantara dunia yang dipenuhi binatang buas dosa tanpa mengenali kebahayaannya. Jangan lupa juga mengajar dan mengambil tahu akan segala jenis tumbuhan berkhasiat untuk menjauhi mudarat dan mendapat manfaat di ketika merdeka diri di dalam hutan. Tanpa ilmu Islam, kemerdekaan fizikal akan membawa kehancuran juga.

Kemerdekaan yang terisi dengan pengisian yang bukan dari silibus sebenar (iaitu tidak menurut Al-Quran dan Al-hadith) akan pastinya mengecewakan jua. Bangunan tinggi dan besar memang mungkin dapat dicapai dan dibina, tetapi jiwa masih belum berjaya diisi dengan kandungan yang sepatutnya, Iaitu islam dan iman atau lebih mudahnya, belum bersedia untuk mati secara mengejut.

Sekadar coretan ringan di celah kesibukan. Wallahu’alam. 

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

28 Ogos 2007

15 Sya’aban 1428 H

Kuala Lumpur Di Bawah Kuasa Allah SWT, Menagap masih degil dengan hukumnya?

Al-Quran dan Al-Hadith sudah tersedia yang diketahui adalah sumber rujukan terbaik buat umat Islam bagi menyelesaikan masalah semasa mereka. Ia adalah buku manual kepada kehidupan seharian kita. Malangnya ia digunakan dengan begitu sedikit menyebabkan kehidupan seharian kita rosak teruk, sebagaimana akan semakin rosaknya kereta Mercedes yang rosak apabila diberikan kepada mekanik motor tidak bertawliah untuk memperbaikinya.

Nisfu Sya’ban - Fatwa Ulama

Tuesday, August 28th, 2007
Fatwa Para ‘Ulama Berkenaan Merayakan Sambutan Nisfu Syaaban – SUATU TUNTUTAN ATAU KEPALSUAN?

Bacaan yasin

Umat Islam di Malaysia umumnya menyambut malam nisfu Syaaban (15hb Syaaban) dengan mengadakan majlis membaca surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib. Di celah-celah bacaan Yasin ini diselitkan dengan bacaan doa seperti , selepas bacaan Yasin pertama dengan doa untuk diselamatkan dunia akhirat, selepas bacaan Yasin kedua doa supaya dipanjangkan umur dalam keberkatan dan selepas bacaan Yasin ketiga doa supaya dianugerahkan rezeki yang halal.

Diperhatikan bahawa amalan sambutan Nisfu Syaaban yang kaifiatnya sebegini tidak diamalkan di tempat lain di seluruh dunia. Tidak hairanlah tiada fatwa yang dikeluarkan oleh Ulama muktabar dunia masakini tentang sahih batilnya amalan ini.

Kita beramal dan beribadat adalah untuk mendapat pahala dan kebaikan . Amalan ini hendaklah ada contohnya dari Rasulullah s.a.w. atau sahabat-sahabat atau ada petunjuk yang jelas dari al-Quran dan as-sunnah. Amalan mengkhususkan bacaan dan doa tertentu pada sesuatu masa tanpa nas yang sahih adalah amalan bidaah yang tertolak dan dikhuatiri berdosa; setidak-tidaknya ia akan membazirkan masa dan memenatkan badan.

Kita boleh membaca surah Yasin sebanyak mungkin pada bila-bila masa untuk mendapat pahala tetapi tidak dengan mengkhususkan kepada malam nisfu Syabaan dan dengan bilangan tiga kali. Kita digalakkan berdoa apa saja kepada Allah s.w.t untuk kebaikan dunia dan di akhirat tetapi tidak perlu dikhususkan di celah-celah bacaan Yasin di malam nisfu Syaaban. Dan kita boleh membaca surah Yasin dan berdoa bersendirian, di mana-mana dan bila-bila saja dan tidak perlu berkampung di masjid-masjid dengan harapan mendapat ganjaran istimewa dari Allah s.w.t.

Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh seorang ulama terkemuka di Timur Tengah untuk menjelaskan tentang amalan bidaah di malam nisfu Syaaban. Perhatikan bahawa beliau tidak menyebut amalan membaca Yasin dan doa-doa yang mengiringinya kerana amalan tersebut tidak diamalkan oleh penduduk di Timur Tengah atau di bahagian lain dunia Islam. Boleh dikatakan bahawa amalan baca Yasin dan doa ini adalah sebahagian dari sekian banyak amalan bidaah ciptaan rakyat tempatan khusus untuk amalan penduduk nusantara ini!

‘Solat Sunat’ Nisfu Syaaban

Firman Allah (mafhumnya): “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu." [al-Maa’idah 5:3]. “Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?" [al-Syur.a 42:21] Dalam kitab al-Sahihain (Bukhari & Muslim) diriwayatkan daripada `Aisyah (r.a) bahawa Rasulullah (s.a.w) pernah bersabda: "barangsiapa mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang mana bukan sebahagian daripadanya, akan tertolak.” Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Jabir r.a, Nabi (s.a.w) bersabda dalam khutbah Baginda: "Tetaplah kamu dengan Sunnahku dan Sunnah para Khulafa’ Rasyidun, serta berpegang teguhlah padanya… Berwaspadalah terhadap perkara yang baru diada-adakan, kerana setiap perkara baru adalah bid’ah dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat.” Terdapat banyak lagi ayat Qur’an dan hadis yang seumpamanya. Ini jelas sekali menunjukkan bahawa Allah telah sempurnakan agama umat ini, dan mencukupkan nikmatNya ke atas mereka. Tuhan tidak mengambil nyawa RasulNya sehinggalah Baginda selesai menyampaikan perutusan dengan seterang-terangnya dan menghuraikan kepada ummah segala apa yang telah diperintahkan Allah samada amalan perbuatan mahupun percakapan. Baginda s.a.w telah menerangkan bahawa untuk ibadah yang direka selepas kewafatan Baginda, segala bacaan dan amalan yang kononnya dilakukan menurut Islam, kesemua ini akan dicampakkan kembali kepada orang yang mencipta amalan tersebut, meskipun ia berniat baik. Para Sahabat Nabi s.a.w tahu tentang hakikat ini, begitu juga para salaf selepas mereka. Mereka mengecam bid’ah dan menegahnya, sebagaimana telah dicatatkan dalam kitab-kitab yang menyanjung Sunnah dan mengecam bid’ah, ditulis oleh bin Waddah, al-Tartushi, bin Shamah dan lain-lain.
Antara amalan bid’ah yang direka manusia ialah menyambut hari pertengahan dalam bulan Syaaban (Nisfu Syaaban), dan menganjurkan puasa pada hari tersebut. Tidak ada nas (dalil) yang boleh dipercayai tentang puasa ini. Ada beberapa hadis dhaif telah dirujuk tentang fadhilat puasa ini, tetapi ianya tidak boleh dijadikan pegangan. Hadis-hadis diriwayatkan mengenai fadhilat doa sempena nisfu Syaaban kesemuanya adalah maudhu’ (rekaan semata-mata), sebagaimana telah diperjelaskan oleh sebahagian besar alim ulama. Kita akan lihat beberapa petikan dari ulasan para alim ulama ini.
Beberapa riwayat tentang hal ini telah dinukilkan daripada sebahagian ulama salaf di Syria dan lain-lain. Menurut jumhur ulama, menyambut nisfu Syaaban adalah bid’ah, dan hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat berkenaan hari tersebut adalah dhaif (lemah), sebahagian besar yang lain pula adalah maudhu’ (rekaan). Antara ulama yang memperjelaskan hal ini adalah al-Haafiz bin Rejab, di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif, dan lain-lain. Hadis-hadis dha`if berkenaan ibadah hanya boleh diterimapakai untuk amalan ibadat yang terdapat menerusi nas-nas yang Sahih. Tidak ada asas yang Sahih bagi sambutan nisfu Syaaban, oleh itu hadis-hadis dha`if tersebut tidak dapat digunapakai. Prinsip asas yang penting ini telah disebutkan oleh Imam Abu’l-‘Abbas Sheikh al-Islam bin Taymiyah (rahimahullah). Para alim ulama (rahimahumullah) telah sepakat bahawa apabila wujud perselisihan di kalangan umat, maka wajiblah merujuk kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Apa-apa keputusan yang diperolehi daripada salah satu atau kedua-duanya adalah syariat yang wajib ditaati, sebaliknya apa-apa yang didapati bercanggah dengan kedua-duanya mestilah ditolak. Oleh itu sebarang amalan ibadat yang tidak dinyatakan di dalam kedua-dua (Qur’an dan Sunnah) adalah bid’ah dan tidak dibenarkan melakukannya, apatah lagi mengajak orang lain melakukannya atau mengiktirafkannya.
Sebagaimana Firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya." [al-Nisa’ 4:59]
“Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaanNya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).”[al-Shura 42:10]. “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Aal ‘Imr.an 3:31]
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [al-Nisa’ 4:65]
Banyak lagi ayat-ayat lain yang serupa maksudnya seperti di atas, yang menyatakan dengan jelas bahawa sebarang perselisihan wajib dirujuk kepada Qur’an dan Sunnah, seterusnya wajib mentaati keputusan yang diperolehi daripada kedua-dua Nas ini. Ini merupakan syarat iman, dan inilah yang terbaik untuk manusia di dunia dan di akhirat: “Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya” [al-Nisa’ 4:59 – mafhumnya] maksudnya ialah Hari Akhirat.
Al-Hafiz bin Rejab (R.A) menyebut di dalam kitabnya Lataa’if al-Ma’aarif tentang isu ini – setelah membincangkannya secara panjang lebar – “Malam Nisfu Syaaban asalnya diutamakan oleh golongan Tabi’in di kalangan penduduk Sham, antaranya Khalid bin Mi’dan, Makhul, Luqman bin ‘Amir dan lain-lain, di mana mereka beribadah bersungguh-sungguh pada malam tersebut. Orang awam menganggap bahawa malam tersebut adalah mulia kerana perbuatan mereka ini. Disebutkan bahawa mereka telah mendengar riwayat-riwayat Israiliyyat berkenaan kelebihan malam tersebut, sedangkan jumhur ulama di Hijaz menolak kesahihan riwayat ini, antara mereka adalah ‘Ata’ dan Ibnu Abi Malikah. ‘Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan fatwa ini daripada fuqaha’ (Ulama Ahli Fiqh) di Madinah, dan inilah pandangan ulama-ulama Maliki dan lain-lain. Kata mereka: semua ini adalah bid’ah…
Imam Ahmad tidak pernah diketahui menyebut apa-apa pun tentang (adanya sambutan) Malam Nisfu Syaaban… Tentang amalan berdoa sepanjang Malam Nisfu Syaaban, tidak ada riwayat yang sahih daripada Nabi (s.a.w) ataupun daripada Para Sahabat Baginda …”
Inilah apa yang telah disebutkan oleh al-Hafiz bin Rejab (R.A). Beliau menyatakan dengan jelas bahawa tidak ada langsung riwayat sahih daripada Rasulullah s.a.w mahupun daripada Sahabat-sahabat Baginda (R.A) mengenai Malam Nisfu Shaaban (pertengahan bulan Syaaban).
Dalam keadaan di mana tidak ada bukti shar’i bahawa apa-apa perkara itu disuruh oleh Islam, tidak dibenarkan bagi Umat Islam untuk mereka-reka perkara baru dalam agama Allah, tidak kiralah ianya amalan perseorangan ataupun berkumpulan, samada dilakukan secara terbuka mahupun tertutup, berdasarkan maksud umum hadith Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa melakukan apa sahaja amalan yang bukan sebahagian daripada urusan kita ini [Islam], amalan itu akan tertolak.” Banyak lagi dalil yang menegaskan bahawa bid’ah mesti ditegah dan memerintahkan agar menjauhinya.
Imam Abu Bakr al-Tartushi (R.A) menyebut dalam kitabnya al-Hawadith wa’l-Bida’: “Ibn Waddah meriwayatkan bahawa Zayd bin Aslam berkata: Kami tidak pernah menemui seorang pun dari kalangan ulama dan and fuqaha’ kami yang memberi perhatian lebih kepada Malam Nisfu Shaaban, tidak ada juga yang memberi perhatian kepada hadith Makhul, atau yang beranggapan bahawa malam tersebut adalah lebih istimewa daripada malam-malam lain. Pernah ada orang mengadu kepada Ibnu Abi Maleekah bahawa Ziyad an-Numairi mengatakan bahawa pahala di Malam Nisfu Shaaban adalah menyamai pahala Lailatul-Qadar. Beliau menjawab, “Sekiranya aku dengar sendiri dia berkata begitu dan ada kayu di tanganku, pasti aku akan memukulnya (dengan kayu itu). Ziyad seorang pereka cerita.”
Al-Shaukani (R.A) berkata dalam al-Fawa’id al-Majmu’ah: “Hadith yang berbunyi: ‘Wahai ‘Ali, barangsiapa bersolat seratus rakaat di Malam Nisfu Shaaban, dengan membaca pada setiap rakaat Ummul Kitab [Surah al-Fatihah] dan Qul Huwallahu Ahad sepuluh kali, Allah akan memenuhi segala keperluannya…’ Hadis ini maudhu’ (rekaan semata-mata). Susunan katanya menyebut dengan jelas ganjaran yang akan diterima oleh orang yang melakukannya, dan tidak ada orang yang waras yang boleh meragui bahawa ‘hadis’ ini adalah rekaan. Lebih-lebih lagi, perawi dalam isnad hadis ini adalah majhul (tidak dikenali). ‘Hadis’ ini juga diriwayatkan melalui sanad yang lain, yang mana kesemua adalah direka dan kesemua perawinya adalah are majhul (tidak diketahui asal-usulnya).
Di dalam kitab al-Mukhtasar, beliau menukilkan: Hadith yang menyebut tentang solat di tengah bulan Syaaban adalah hadis palsu, dan hadis Ali yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban – “ Apabila tiba malam pertengahan Syaaban, penuhilah malamnya dengan solat dan berpuasalah di siang harinya” – adalah dhaif (lemah).
Di dalam kitab al-La’aali’ beliau berkata, “Seratus rakaat di pertengahan Syaaban, membaca (Surah) al-Ikhlas sepuluh kali di setiap rakaat… (hadis ini) adalah maudhu’ (direka), dan kesemua perawi dalam tiga isnadnya adalah majhul (tidak dikenali) dan dhaif (lemah). Katanya lagi: dan dua belas rakaat, membaca al-Ikhlaas tiga puluh kali setiap rakaat, ini juga adalah maudhu’; dan empat belas (rakaat), juga adalah maudhu’.
Beberapa orang fuqaha’ telah tertipu oleh hadis palsu ini, antaranya pengarang al-Ihya’ dan lain-lain, dan juga sebahagian ulama mufassirin. Solat khusus di malam ini – di pertengahan bulan Syaaban – telah diterangkan dalam pelbagai bentuk, kesemuanya adalah palsu dan direka-reka.”
Al-Hafiz al-‘Iraqi berkata: “Hadith tentang solat di malam pertengahan Syaaban adalah maudhu’, dan disandarkan secara palsu terhadap Rasulullah s.a.w.”
Imam al-Nawawi berkata di dalam bukunya al-Majmu’: “Sembahyang yang dikenali sebagai solat al-raghaa’ib, didirikan sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan ‘Isyak pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab, dan sembahyang sunat Malam Nisfu Shaaban, sebanyak seratus rakaat – kedua-dua sembahyang ini adalah bid’ah yang tercela. Sepatutnya orang ramai tidak tertipu disebabkan ianya disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya’ ‘Ulum al-Din, atau oleh hadis-hadis yang disebutkan dalam kedua-dua kitab ini. Kesemuanya adalah palsu. Orang ramai juga tidak sepatutnya tertipu disebabkan kerana beberapa imam telah keliru dalam hal ini dan menulis beberapa helaian yang menyebut bahawa sembahyang ini adalah mustahabb (sunat), kerana dalam hal ini mereka tersilap.”
Sheikh al-Imam Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin Isma’il al-Maqdisi telah menulis sebuah kitab yang amat berharga, yang membuktikan bahawa riwayat-riwayat tersebut adalah palsu, dan jasa beliau sangatlah besar. Alim `ulama telah membincangkan hal ini dengan panjang lebar, dan sekiranya kami ingin memetik keseluruhan perbincangan tersebut untuk dicatatkan di sini, tentu akan mengambil masa yang sangat panjang. Mudah-mudahan apa yang telah disebutkan di atas sudah memadai bagi anda yang mencari kebenaran.
Daripada ayat-ayat Qur’an, hadis-hadis dan pendapat ulama yang dipetik di atas, sudah jelas bagi kita bahawa menyambut pertengahan bulan Syaaban dengan cara bersembahyang di malamnya atau dengan mana-mana cara yang lain, atau dengan mengkhususkan puasa pada hari tersebut, adalah bid’ah yang ditolak oleh jumhur ulama. Amalan tersebut tiada asas dalam syariat Islam yang tulen; bahkan ianya hanyalah salah satu perkara yang diada-adakan dalam Islam selepas berakhirnya zaman Sahabat (radhiallahu `anhum).

Amat memadai, dalam hal ini, untuk kita fahami kalam Allah (mafhumnya): “Pada hari ini Aku telah sempurnakan agama kamu untukmu..…”[al-Ma’idah 5:3]. dan beberapa ayat yang seumpamanya; dan kata-kata Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan (agama) kita ini yang (pada hakikatnya) bukan sebahagian daripadanya, tidak akan diterima” dan beberapa hadis yang serupa.

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan bahawa Abu Hurarah (R.A) berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Janganlah kamu khususkan malam Jumaat untuk bersembahyang malam dan janganlah khususkan siang hari Jumaat untuk berpuasa, melainkan jika puasa di hari itu adalah sebahagian daripada puasa-puasa yang kamu amalkan berterusan berterusan.’” Seandainya dibenarkan untuk mengkhususkan mana-mana malam untuk amalan ibadah yang istimewa, sudah tentu malam Jumaat adalah yang paling sesuai, kerana siang hari Jumaat adalah hari yang paling baik bermula terbit mataharinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis Sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. Memandangkan Nabi s.a.w sendiri melarang dari mengkhususkan malam tersebut untuk bertahajjud, itu menandakan bahawa adalah lebih dilarang sekiranya dikhususkan malam-malam lain untuk sebarang bentuk ibadat, kecuali di mana terdapat nas yang Sahih yang mengkhususkan malam tertentu.

Oleh kerana telah disyariatkan untuk memenuhi malam Lailatul-Qadr dan malam-malam lain di bulan Ramadhan dengan bersolat, Rasulullah s.a.w memberi perhatian kepadanya dan menyuruh umatnya bersolat malam sepanjang tempoh tersebut. Baginda sendiri melaksanakannya, sebagaimana disebut dalam al-Sahihain, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Barangsiapa bersolat qiyam di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, Allah akan ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” dan “Barangsiapa memenuhi malam Lailatul Qadr dengan bersolat (sunat) disebabkan iman dan mencari pahala, Allah ampunkan kesemua dosanya yang telah lalu.”
Akan tetapi sekiranya disyariatkan untuk mengkhususkan malam pertengahan bulan Syaaban, atau malam Jumaat pertama di bulan Rejab, atau di malam Isra’ dan Mi’raj, dengan meraikannya ataupun dengan melakukan amalan ibadat yang khusus, maka sudah tentu Rasulullah s.a.w telah mengajar umatnya melakukannya, dan Baginda sendiri melakukannya. Jika pernah berlaku sedemikian, para Sahabat Baginda (R.A) pasti akan memperturunkan amalan amalan tersebut kepada umat terkemudian; tidak mungkin mereka menyembunyikan amalan daripada umat terkemudian, kerana mereka adalah generasi yang terbaik dan yang paling amanah selepas Rasulullah, radhiallahu `anhum, dan semoga Allah merahmati kesemua sahabat Rasulullah s.a.w.
Sekarang kita telah membaca sendiri kata-kata ulama yang dipetik di atas bahawa tidak ada riwayat daripada Rasulullah s.a.w mahupun Para Sahabat (R.A) berkenaan kelebihan malam Jumaat pertama bulan Rejab, atau malam pertengahan bulan Syaaban. Maka kita tahu bahawa menyambut hari tersebut adalah satu perkara baru yang dimasukkan ke dalam Islam, dan mengkhususkan waktu-waktu ini untuk amalan ibadat tertentu adalah bid’ah yang tercela.
Samalah juga dengan sambutan malam ke dua puluh tujuh bulan Rejab, yang mana disangkakan oleh sesetengah orang sebagai malam Isra’ dan Mi’raj; tidak dibenarkan mengkhususkan hari tersebut untuk amalan tertentu, atau meraikan tarikh tersebut, berdasarkan dalil yang dipetik di atas. Ini sekiranya tarikh sebenar Isra’ and Mi’raj telah diketahui, maka bagaimana sekiranya pandangan ulama yang benar adalah tarikh sebanar Isra’ and Mi’raj tidak diketahui! Pandangan yang mengatakan ianya berlaku pada malam ke dua puluh tujuh di bulan Rejab adalah riwayat yang palsu yang tiada asas dalam hadis-hadis sahih. Baik sekiranya seseorang itu berkata: “Perkara paling baik adalah yang mengikut jalan para salaf, dan perkara paling buruk adalah perkara yang diada-adakan.”

Kita memohon agar Allah membantu kita dan seluruh umat Islam untuk berpegang teguh kepada Sunnah dan menjauhi segala yang bertentangan dengannya, kerana Dialah yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Semoga Allah merahmati Pesuruh dan UtusanNya, Nabi kita Muhammad s.a.w, serta kesemua ahli keluarga dan Para Sahabat baginda.

[Dipetik daripada Majmu’ Fatawa Samahat al-Sheikh ‘Abdul-‘Aziz bin Baz, 2/882]
Jumaat: 10/10/2003